2 syarikat didenda RM40,000, gagal patuhi Akta Kilang dan Jentera

Oleh: Haikal Tajuddin

PULAU PINANG: Majikan syarikat Excel South Asia Sdn Bhd dan Fong Chi Mould Industries Sdn Bhd telah dikenakan denda sebanyak RM40,000 kerana tidak mematuhi peraturan keselamatan pekerja.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, mengikut Seksyen 15, Akta Kilang dan Jentera 1967.

Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang (JKKP), kedua-dua syarikat tersebut gagal memasang penghadang yang kukuh dan selamat di bahagian jentera yang berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan serius kepada seorang pekerja.

Hakim, Puan Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 masing-masing kepada kedua-dua syarikat yang mengaku bersalah.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP Pulau Pinang, Wan Sahrizat Wan Mahmood, manakala siasatan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat JKKP.

“Adalah diharapkan kes ini dapat memberi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja agar pematuhan kepada undang-undang sentiasa diambil berat demi keselamatan pekerja dan kepentingan awam,” jelas kenyataan tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat