PERDANA MENTERI memaklumkan sebanyak 96 peratus syarikat Jepun mahu terus kekal di Malaysia, dengan separuh daripadanya ingin mengembangkan perniagaan mereka di negara ini.
PM terima kunjungan Duta Besar Jepun dan delegasi |
Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran di Facebook berkata, statistik itu berdasarkan tinjauan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) dan kadar pengembangan itu lebih tinggi daripada purata bagi ASEAN dan kedua tertinggi di rantau ini.
“Malaysia dan Jepun terus meraikan hubungan diplomatik yang kukuh dengan kini masuk ke tahun ke-65 dan Jepun merupakan antara rakan dagang terpenting serta keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$41.21 bilion (RM181.51 bilion) pada 2022.
“Jepun juga disenaraikan sebagai salah satu sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke Malaysia dalam projek-projek di lapangan pembuatan,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Anwar berkata begitu sebagai mengulas pertemuan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko bersama delegasi daripada Dewan Perdagangan dan Industri Jepun Malaysia (JACTIM) di Kementerian Kewangan pada Rabu.
Sementara itu jelas Anwar pada tahun lepas, sejumlah 2,746 projek dilaksanakan dengan jumlah pelaburan bernilai AS$27.25 billion (RM91.14 bilion) dan sebanyak 336,326 peluang pekerjaan dijana manakala pada tahun ini, Malaysia memperoleh komitmen pelaburan dari Jepun sebanyak RM23 bilion.
Justeru itu jelasnya, adalah mustahak untuk Malaysia terus memastikan persekitaran pelaburan kondusif dan mampu menarik minat lebih banyak pelabur asing ke negara ini kerana peningkatan FDI yang berterusan adalah bukti keyakinan pelabur asing yang kian pulih terhadap kemajuan dan potensi ekonomi negara.
Mengulas lanjut Anwar juga berkata, beberapa tahun kebelakangan ini, aliran masuk FDI terus menguak tatkala negara menyaksikan pelaburan masuk yang diluluskan berjumlah RM71.4 bilion pada suku pertama tahun ini, lantas menjadikannya suatu lonjakan ketara yakni sebanyak 60 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
“Asas ekonomi kita terus kukuh, dibuktikan dengan inflasi yang rendah serta landskap politik yang semakin stabil. Permintaan untuk produk dan perkhidmatan Malaysia juga semakin meningkat. Kerajaan juga berkomitmen tegas untuk membangunkan industri baharu seperti ekonomi digital dan teknologi hijau.
“Saya amat yakin dengan prestasi masa depan pelaburan di Malaysia yang pastinya akan terus rancak. Kerajaan akan terus berusaha sebaiknya dalam memperkukuh iklim pelaburan lebih baik dan kerajaan juga sedang meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, menarik pelaburan bernilai dan berdampak tinggi serta mencipta tenaga kerja tempatan yang memiliki nilai daya saing,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu adalah sejajar dengan objektif Dasar Pelaburan Baharu (NIP) yang akan datang dan bakal dicerakinkan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) yang akan dilancarkan pada Ogos 2023.