Malaysia – India tingkat kerjasama pertahanan

MALAYSIA DAN INDIA  mengesahkan komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan, khususnya dalam aspek kerjasama antara tentera dan sains pertahanan, teknologi dan industri antara kedua negara.

Kerjasama pertahanan rantau ini diperkuat

Komitmen itu hasil pertemuan Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya dari India, Shri Rajnath Singh di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak semalam. 

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin memperakui dan bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan India dengan menandatangani Pertukaran Surat (EoL) untuk meminda Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pertahanan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan India yang ditandatangani pada tahun 1993.

“Penandatanganan EoL akan memudahkan lebih banyak aktiviti dua hala antara ketiga-tiga perkhidmatan ketenteraan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu. 

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk meneroka lebih banyak kerjasama antara Malaysia dan India dalam kebolehoperasian kedua-dua tentera dalam ketiga-tiga domain; darat, laut, dan udara dalam masa terdekat.

Persamaan aset pertahanan antara kedua-dua negara akan meningkatkan kerjasama, terutamanya dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Mereka juga bersetuju untuk menubuhkan Forum SU-30 dan Kumpulan Kerja Hal Ehwal Strategik untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua kementerian dengan pegawai kanan dan anggota tentera dari kedua-dua kementerian akan terus membincangkan perkara berkaitan pertahanan menggunakan platform ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Lawatan rasmi Menteri Pertahanan India ke Malaysia mencerminkan kepentingan hubungan pertahanan antarabangsa yang kukuh seperti yang ditetapkan oleh Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Nasional, iaitu Perkongsian Boleh Dipercayai, seperti yang digariskan oleh Kertas Putih Pertahanan Malaysia (DWP). 

Anda Mungkin Berminat