Akta Hasutan 1948 akan disemak semula – Azalina

Akta Hasutan 1948 (Akta 15) akan disemak bagi memastikan ia digunakan hanya untuk melindungi Institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu telah dipersetujui Jemaah Menteri secara prinsip, semalam.

Menurut beliau, persetujuan berkenaan dicapai selepas pembentangan hasil Dialog Perundangan 3R yang telah diadakan pada 21 Julai kepada Kabinet, di Putrajaya, semalam.

“Dialog Perundangan 3R telah diadakan bagi menangani isu provokasi yang melibatkan agama (religion), bangsa (race) dan Institusi Raja-Raja (royalty).

“Ia telah dihadiri wakil Kementerian atau Jabatan Persekutuan termasuk Kementerian Perpaduan Negara, Badan-Badan Peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Ahli-Ahli Akademi,” katanya, semalam.

Jelas Azalina, aspek lain berkenaan provokasi yang melibatkan agama dan bangsa akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu.

“Undang-undang baharu itu jika perlu, mencakupi keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan Institusi Raja-Raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta 15 itu.

“BHEUU JPM dan memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah benar-benar bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik,” katanya.

Terdahulu, Azalina berkata, kerajaan berhasrat mengkaji semula undang-undang menangani isu 3R bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa.

Katanya, ada antara undang-undang sedia ada telah digubal sejak tujuh dekad lalu, justeru terdapat peruntukan yang perlu dipinda bagi memastikan ia bersesuaian dengan senario terkini.

Anda Mungkin Berminat