3,073 MyKiosk ke arah merealisasikan ekonomi Madani menjelang akhir tahun

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyiapkan baki sebanyak 3,073 MyKiosk menjelang akhir tahun ini bagi menyediakan ruang perniagaan yang seragam, selamat dan selesa kepada peniaga.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, setakat bulan ini, kementerian meluluskan sebanyak 3,173 unit kiosk kepada 113 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berjumlah RM49.14 juta.

Menurut beliau, buat masa ini, sejumlah 100 unit kiosk disiapkan di lima lokasi melibatkan Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Perbandaran Port Dickson.

“MyKiosk merupakan inisiatif kerajaan dalam mebantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat dengan memberi manfaat kepada para peniaga melalui pemberian kadar sewaan kiosk yang rendah,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar, hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, MyKiosk merupakan inisiatif yang didorong oleh kerangka Ekonomi Madani di mana ia memberi peluang kepada golongan B40 memulakan perniagaan, sekali gus memperbaiki kehidupan mereka.

“MyKiosk adalah inisiatif yang didorong oleh kerangka Ekonomi Madani di mana memberi peluang untuk golongan B40 memlukan perniagaan dan sekali gus memperbaiki kehidupan mereka.

“Sumbangan peniaga kecil tidak pernah dipandang remeh oleh KPKT, malah peningkatan ekonomi mikro turut memberi kesan positif kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, selain menggunakan imej, reka bentuk dan warna baharu, MyKiosk juga merupakan inisiatif ‘green kiosk’ pertama di negara ini yang menggunakan tenaga solar.

Beliau berkata, kos anggaran bagi setiap unit MyKiosk adalah antara RM15,000 hingga RM20,000 termasuk panel solar.

Pelaksanaan inisiatif MyKiosk melibatkan beberapa kriteria seperti penempatan kiosk di tempat tumpuan orang ramai seperti di kawasan komersial dan perniagaan, kawasan pelancongan, dataran, berdekatan jalan raya utama dan lain-lain kawasan yang bersesuaian.

Keutamaan turut diberikan kepada golongan B40 dan penempatan semula peniaga sedia ada ke lokasi yang lebih strategik dan selamat.

Selain itu, pengecualian sewaan turut diberikan kepada peniaga selama enam bulan pertama pelaksanaan dan kadar sewaan kiosk mestilah tidak melebihi RM300 sebulan.

Anda Mungkin Berminat