7 politeknik terima pengiktirafan akreditasi APACC

Sebanyak tujuh politeknik menerima pengiktirafan akreditasi daripada Suruhanjaya Pensijilan dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC), baru-baru ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, akreditasi itu adalah pengiktirafan yang diberikan berdasarkan tujuh kriteria yang perlu dipenuhi dan dicapai oleh institusi.

“Lebih membanggakan apabila dua politeknik iaitu Politeknik Port Dickson (PPD) dan Politeknik Ungku Omar (PUO) menerima pengiktirafan tertinggi dengan memperoleh Anugerah Platinum.

“Hanya tiga institusi di Malaysia termasuk PPD dan PUO yang berjaya berada di tahap ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, lima politeknik memperoleh Anugerah Emas iaitu Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Kota Bharu (PKB), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Seberang Perai (PSP) dan Politeknik Kuching Sarawak (PKS).

“Pencapaian akreditasi APACC ini secara langsung berupaya membuktikan sistem pendidikan politeknik telah berupaya mencapai standard yang ditetapkan di peringkat antarabangsa serta menjadi penanda aras kepada pencapaian berprestasi tinggi dalam mentransformasikan program pengajian politeknik ke tahap lebih cemerlang,” katanya.

Jelasnya, akreditasi APACC secara langsung berupaya memudahkan mobiliti graduan politeknik ke negara ASEAN dan dapat mewujudkan standard setara dalam kemahiran yang diajari di institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) rantau Asia Pasifik, selain memudahcara mobiliti pekerja di rantau berkenaan.

APACC adalah sebuah badan akreditasi pensijilan antarabangsa di bawah Colombo Plan Staff College for Technician Education berpusat di Manila, Filipina dan dianggotai 17 negara di rantau Asia Pasifik.

Tujuh kriteria yang dinilai bagi pengiktirafan APACC adalah tadbir urus dan pengurusan; pengajaran dan pembelajaran; sumber manusia; penyelidikan dan pembangunan; imej dan kelestarian; sumber lain serta khidmat sokongan pelajar.

Anda Mungkin Berminat