Pengganti Salahuddin diumum lepas PRN – PM Anwar

Menteri baharu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan diumumkan selepas Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN ke-15), bulan depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sementara pengumuman pelantikan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali diarahkan untuk memangku tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Belum, saya kata biar lepas PRN. Kemudian bagi masa saya fikir.

“Sementara ini, saudara Armizan diberi tanggungjawab memantau dan jalankan tugas, Fuziah (selaku Timbalan Menteri KPDN) pun dah faham betul (tugasan di KPDN), jadi boleh jalan,” katanya pada sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di Pavilion Bukit Jalil.

Pada 23 Julai lalu, Salahuddin, 61, yang juga Ahli Parlimen Pulai meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 9.23 malam ketika dirawat di unit rawatan rapi HSB.

Allahyarham yang memulakan inisiatif Rahmah, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB pada 21 Julai lalu untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.

Anda Mungkin Berminat