Pelaburan ekonomi digital meningkat sehingga 279 peratus

Malaysia terus mencatatkan kejayaan apabila menerima pelaburan ekonomi digital sebanyak RM28.4 bilion untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Mohamed Fahmi Fadzil berkata, jumlah tersebut adalah peningkatkan sebanyak 279 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, peningkatan tersebut adalah hasil daripada kerajaan yang stabil dan kompeten sekali gus pelabur akan rasa yakin untuk terus melabur.

“Alhamdulillah, pelaburan dalam sektor ekonomi digital yang dibawa masuk oleh KKD adalah seperti berikut, setengah tahun pertama 2022, RM7.5 bilion, manakala setengah tahun pertama 2023,RM28.4 bilion.

“Ini bermakna, ada kenaikan sebanyak 279 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, jika pelaburan meningkat peluang pekerjaan baharu juga dapat dicipta untuk anak-anak muda.

“Insya-Allah we are on the right track (kita berada di landasan yang betul),” tulisnya lagi.