Nasional

Pelajar universiti awam boleh tebus subsidi tiket penerbangan RM300

Pelajar universiti awam yang layak menerima bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan akan menerima baucar digital bernilai RM300 untuk membeli tiket perjalanan masing-masing.

Kementerian Pengangkutan berkata, baucar digital yang berperanan sebagai ‘credit shell’ itu akan dikeluarkan oleh syarikat penerbangan terlibat seperti Malaysia Airlines termasuk MASwings dan FireFly selain AirAsia, Batik Air dan MYAirline.

“Susulan pengumuman berkaitan pelaksanaan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam bagi laluan domestik, Kementerian Pengangkutan ingin memaklumkan bahawa inisiatif itu telah bermula hari ini.

“Jadi, pelajar universiti awam boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan
(https://subsidiudara.mot.gov.my/),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, setelah membuat semakan, pelajar layak boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan daripada mana-mana syarikat penerbangan yang disenaraikan melalui laman sesawang syarikat tersebut.

“Sekiranya didapati tidak layak, pelajar boleh membuat semakan dan rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui universiti masing-masing.

“Buat masa ini, pelajar layak adalah pelajar yang berdaftar di universiti awam sehingga tahun akademik 2022/2023 pada 30 Jun 2023,” jelasnya.

Katanya, setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell bagi pembelian tiket.

“Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya.

“Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Disember 2023, namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan,” ujarnya.

Katanya, bantuan itu merupakan antara inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan Sabah, Sarawak serta Labuan selain menangani isu kos sara hidup selaras aspirasi Malaysia Madani.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close