Nasional

KKM lulus 27 rayuan pertukaran pegawai perubatan

Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan 27 kes daripada tiga pusingan rayuan berhubung pertukaran penempatan perkhidmatan yang dimohon oleh pegawai perubatan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, bagaimanapun permohonan rayuan masih dibuka, namun, keputusan bagi kelulusan permohonan tersebut akan diperlahankan dahulu buat setakat ini.

Katanya, ini adalah bagi memberi ruang kepada pihak mereka membuat penilaian dalam mengenal pasti kelayakan rayuan sebelum ini untuk diluluskan.

“Ini tidak bermakna rayuan tersebut tidak dipedulikan langsung, malah, kita akan melihat tugasan hakiki sebagai seorang pegawai perubatan dan penjawat awam.

“Kalau rayuan tersebut mungkin mempunyai merit dan mungkin penempatan yang mereka minta itu ada kekosongan, mungkin kita akan memudahkan permintaan rayuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika, menghadiri majlis perasmian Persidangan Peraturan Kebangsaan 2023 ( NRC), di sini, pagi tadi.

Justeru, Zaliha menambah, bagi pegawai kesihatan yang diluluskan rayuan, mereka hendaklah melaporkan diri di penempatan baharu dengan segera.

Namun begitu, katanya, jika ada rayuan lain selepas itu, pihak mereka akan meneliti kembali rayuan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, KKM akan sentiasa mengkaji rayuan berdasarkan kelebihan pegawai itu untuk diperhalusi.

Terdahulu, beliau memaklumkan 332 daripada 1,834 rayuan pertukaran tempat perkhidmatan diluluskan.

Dalam masa yang sama, KKM menganggarkan lebih 1,000 kekosongan di Sabah dan Sarawak yang mungkin disebabkan faktor jarak jauh dan kekurangan kemudahan.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close