Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan memberi penekanan kepada tiga bidang penting dalam fokus Ekonomi Digital Islam (IDE) iaitu kewangan Islam, halal dan gaya hidup.
Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata ini telah dirancang dengan strategik untuk memudahkan ekosistem tersebut berkembang maju.
Menurutnya peranan MDEC dalam memacu inisiatif IDE ini meliputi pelbagai aspek dan agensi ini komited untuk menyokong syarikat-syarikat IDE dengan menyediakan ekosistem yang komprehensif dari segi bimbingan, pembiayaan, padanan perniagaan dan akses pasaran.
“Kami sedang menjalinkan usaha yang menggalakkan kerjasama dan perkongsian efektif antara bekalan, permintaan dan pengupaya,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan Industri IDE 2023 di Kuala Lumpur, semalam.
Syed Ibrahim berkata, persidangan tersebut berperanan sebagai satu platform yang bukan sahaja membincangkan potensi dan meningkatkan lagi hala tuju bidang IDE, malah, untuk memeterai memorandum persefahaman yang akan menjadi asas kepada usaha kerjasama yang selanjutnya.
“Ini hanyalah langkah pertama dalam melaksanakan projek perintis yang diharapkan mewujudkan pembuktian konsep yang berjaya supaya boleh dikomersialkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata menerusi inisiatif seperti Malaysia Digital, MDEC komited untuk melahirkan ekosistem digital yang mendorong inovasi, memperkasa perniagaan dan membolehkan rangkuman digital.
“Kami sedang merangka Program Mangkin Malaysia Digital atau Pemangkin yang bertujuan memangkin dan mempercepat pertumbuhan dalam sektor ini.
“MDEC juga memainkan peranan sebagai penghubung antara industri Islam tradisional dan digital dengan bekerjasama erat dengan badan pensijilan halal, institusi kewangan Islam dan pihak berkepentingan lain untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam proses pihak berkenaan, sekali gus meningkatkan kecekapan, ketelusan dan pematuhan.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan, malah turut memperkukuh ekosistem halal dan capaian terhadap kewangan Islam,” kata Syed Ibrahim.