Global

Kedutaan Besar Malaysia di Iraq dibuka semula

Kedutaan Besar Malaysia di Iraq yang ditutup sementara sejak dua puluh tahun lalu akan dibuka semula ekoran pencerobohan Amerika Syarikat (AS) pada Mac 2003.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, beliau telah menyampaikan keputusan Kabinet Malaysia untuk mengoperasikan semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad sewaktu lawatan rasmi ke Republik Iraq.

“Saya telah menyampaikan keputusan Kabinet Malaysia untuk mengoperasikan semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad yang telah ditutup sementara sejak dua dekad yang lalu.

“Pengoperasian semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad pastinya akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Iraq, beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk meluaskan kerjasama dengan Iraq dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi, pendidikan, hubungan udara dan pelancongan.

Beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk meneroka semua laluan dan peluang yang ada dalam meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara termasuk meningkatkan eksport perabot, produk farmaseutikal, produk elektrik dan elektronik serta komoditi ke Iraq.

“Dalam bidang pelaburan, kerajaan Iraq telah mengalu-alukan kehadiran syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur bagi pembangunan semula Iraq.

“Saya turut membincangkan tentang status pengoperasian Petronas di Iraq serta peluang yang lebih meluas dalam sektor tenaga yang boleh diterokai oleh Petronas,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan lawatan ini merupakan satu permulaan untuk Malaysia berperanan sebagai negara yang proaktif dalam hubungan antarabangsa terutamanya di Asia Barat.

“Ini juga merupakan misi diplomasi aktif yang diasaskan oleh Perdana Menteri bagi membolehkan Malaysia untuk kembali ke persada antarabangsa dalam menghadapi dan mendepani isu-isu global,” katanya.

Terdahulu, Zambry melakukan lawatan rasmi ke Republik Iraq yang telah berlangsung dari 23 Ogos hingga semalam.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close