Nasional

Saifuddin tepis dakwaan KDN beri kerakyatan besar-besaran kepada warga asing

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menepis dakwaan bahawa kementeriannya sedang memproses permohonan kerakyatan Malaysia secara besar-besaran kepada warga asing terutama dari China.

Beliau berkata dakwaan itu dilontar pihak tertentu tanpa rasa tanggungjawab sehingga mempengaruhi pemikiran rakyat dan memberi perspektif yang buruk dan salah kepada Kerajaan Perpaduan.

Tanpa memperincikan dakwaan itu, Saifuddin Nasution menyifatkan perkara itu satu tohmahan dahsyat yang dilontar tanpa rasa tanggungjawab yang memberi kesan terhadap usaha kementerian menyelesaikan isu permohonan kewarganegaraan ketika ini.

“Beri kami peluang untuk menyelesaikan isu masa depan anak-anak daripada keluarga Malaysia.

“Jadi inilah yang sedang kami lakukan dan bukan mudah kerana isu kewarganegaraan ini isu yang sangat sensitif, tapi saya menepis sama sekali tohmahan yang menyebut bahawa ini ialah proses pemberian warganegara besar-besaran kepada warga asing terutama dari negara China.

“Beri kami ruang untuk menyelesaikan isu masa depan anak-anak daripada keluarga Malaysia yang proses pendaftaran perkahwinan itu tidak dibuat secara teratur dan sekarang ini apabila ada masalah dan banyak bilangannya kami nak membantu dari segi perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bagi pembelian van jenazah kepada Masjid Ar-Raudhah, Sungai Durian di Pokok Sena, Kedah, hari ini.

Pada majlis itu, Saifuddin Nasution turut menyampaikan surat kelulusan permohonan kewarganegaraan kepada seorang penerima Khatanak Sayyan, 19, yang sebelum ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, terdapat lebih 140,000 permohonan kewarganegaraan yang diterima pihaknya dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,000 telah diproses termasuk permohonan yang diluluskan.

Menurut beliau, sekiranya data berkaitan pemberian kewarganegaraan itu diputarbelitkan dan disebarkan, ia boleh memberi persepsi negatif terhadap usaha kementeriannya menyelesaikan isu kewarganegaraan termasuk yang banyak disebabkan oleh kelewatan pendaftaran perkahwinan.

“Sebab puncanya adalah pelbagai, kadang-kadang ibu bapa gagal untuk segera membuat pendaftaran perkahwinan, sedangkan dalam kes kewarganegaraan prasyarat penting dokumen ialah sijil perkahwinan. Jadi apabila ada kekurangan itu lama-kelamaan masalah timbul kepada anak-anak yang dilahirkan.

“Jadi bila mereka (ibu bapa) cuba betulkan, mereka angkat pula permohonan, permohonan pula mengambil masa yang lama, dalam kes ini 19 tahun, 20 tahun pun ada, 15 tahun itu biasa, 12 tahun lagi banyak. Jadi itulah yang saya sebutkan bahawa maksud memberi, mempermudah kelulusan kewarganegaraan adalah untuk kes seperti ini (iaitu) ibu bapa orang Malaysia, anak lahir di sini,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Negara dilapor menafikan dakwaan kira-kira 54,000 warga China sedang dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia kononnya untuk menjadi pengundi DAP.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close