Nasional

Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui perlu pelaburan RM637 bilion – Nik Nazmi

Kerajaan mensasarkan jumlah pelaburan RM637 bilion sehingga tahun 2050 untuk merealisasikan usaha menggerakkan tenaga boleh diperbaharui (RE) sehingga 70 peratus atau 55 GigaWatt (GW) dalam sektor kuasa.

Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha itu merangkumi pelaburan dalam sumber penjanaan RE, mengukuhkan infrastruktur grid termasuk menambahbaik talian transmisi, sistem bersepadu penstoran tenaga dan penambahan rangkaian operasi sistem grid.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, ketika ini Malaysia berada di tahap 25 peratus atau 10GW, dan sasaran itu membaharui sasaran awal iaitu 40 peratus RE menjelang 2050.

“Ini merupakan komitmen yang telah saya lakukan sewaktu membentangkan Unjuran Perubahan Tenaga Malaysia (METO) pada Mac lalu, di mana saya telah berikrar untuk menghasilkan polisi tentang penjana kuasa yang komprehensif, kompetitif serta mempunyai pelan pembekalan yang terancang.

“Ini membolehkan Malaysia melaksanakan usaha nyahkarbon, serta menggunakan kelebihan kompetitif kita untuk menghasilkan pelaburan yang bernilai tinggi serta mesra alam sekitar, mampan serta berpusat kepada tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Energy Transition Conference 2023 – Accelerating a Responsible Energy Transition, anjuran Tenaga Nasional Berhad, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, Kerajaan Persekutuan juga telah mengambil pendirian untuk membenarkan perdagangan tenaga boleh diperbaharui merentasi sempadan, sebagai strategi serampang dua mata untuk memanfaat dan meneroka permintaan RE bernilai tinggi dari kalangan negara jiran ASEAN.

Jelasnya lagi, langkah itu membolehkan Malaysia untuk menawar dan menikmati fleksibiliti grid dengan integrasi RE di bawah ASEAN Power Grid (APG).

“Sudah semestinya APG adalah sesuatu yang perlu kita beri tumpuan. Sebagai satu usaha sama, kejayaan APG akan menghasilkan sistem grid tenaga yang menyeluruh di seluruh ASEAN. Ia akan mempromosi kesalinghubungan merentasi 10 negara ASEAN yang mempunyai jumlah populasi melebihi 670 juta penduduk.

“Kerajaan menjemput semua pemain industri tenaga, terutamanya syarikat tempatan seperti TNB (Tenaga Nasional Berhad), untuk terus memfasilitasi penerokaan tenaga baharu dan tenaga boleh diperbaharui di negara ini dan juga di negara jiran.

“Perdagangan RE merentasi sempadan akan menjadi sebahagian daripada sumbangan Malaysia dalam pembentukan APG dan seterusnya mengukuhkan lagi integrasi ASEAN sebagai satu,” katanya lagi.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close