Negeri

Sultan Selangor titah segerakan jawatankuasa khas kaji gubal undang-undang syariah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini bertitah satu Jawatankuasa Khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah ini berikutan kebelakangan ini banyak kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan, khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam membuat dan meluluskan undang-undang Islam (Syariah) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya.

“Trend sebegini menggambarkan kedudukan enakmen-enakmen negeri yang melibatkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan jenayah Syariah semakin tercabar, yang sekali gus menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri untuk membicarakannya,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi Majlis berkenaan.

Justeru, baginda berpandangan penyelesaian hanya boleh dibuat melalui tindakan legislatif dengan membuat pindaan tertentu kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi membolehkan kuasa yang lebih luas diberikan kepada DUN di dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah Syariah bagi orang Islam.

“Dengan mengambil pertimbangan keadaan yang sedang kita hadapi ini, Beta berpandangan, adalah perlu satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan dari keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” titah Sultan Selangor.

Titah baginda, Jawatankuasa Khas itu perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu itu dapat dibuat.

“Jawatankuasa Khas ini hendaklah dianggotai oleh pakar undang-undang Perlembagaan, undang-undang sivil dan Syariah serta ahli-ahli akademik, dan tidak ketinggalan pengamal undang-undang yang mempunyai kelayakan, kemahiran dan pengalaman yang luas dalam kedua-dua bidang undang-undang sivil dan Syariah,” titah baginda.

Susulan itu, Sultan Sharafuddin berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang turut hadir pada mesyuarat itu, dapat mengambil langkah-langkah segera bagi pembentukan Jawatankuasa Khas berkenaan dan mengemukakan syor kepada MKI, seterusnya Majlis Raja-Raja ke arah penyelesaian kepada permasalahan berkenaan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close