Kementerian Pertanian ambil langkah intervensi, pengilang padi dan pemborong beras diminta tingkat bekalan

Pengilang padi dan pemborong beras diminta untuk meningkatkan bekalan beras putih tempatan (BPT) sebanyak 20 peratus menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), hari ini, ia sebagai langkah intervensi memulihkan bekalan itu di pasaran,

“Melalui Program Khas BPT ini, pihak Padiberas Nasional Bhd (Bernas) akan memberikan kuota tambahan tersebut kepada pemborong-pemborong Bumiputera untuk menambah bekalan BPT negara,” katanya.

Hasrat itu telah dipersetujui pengilang padi dan pemborong beras dalam satu sesi libat urus pada 27 Ogos lalu, di Alor Setar, Kedah.

KPKM berkata, harga BPT masih kekal pada harga kawalan iaitu RM2.60 sekilogram sejak 2008 dan ia merupakan harga terendah di rantau ini.

Ini diikuti Thailand yang menjual komoditi itu pada harga RM2.70 sekilogram dan Kemboja RM3.20 sekilogram.

Menurut KPKM, Sesi Dialog Belanjawan 2024 KPKM bersama pemain industri dan pihak berkepentingan di bawah subsektor padi akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pada 7 September ini.

Sesi itu bertujuan mendapatkan input dan pandangan daripada pemain industri mengenai kaedah meningkatkan pengeluaran BPT.

KPKM memaklumkan pemantauan terhadap komoditi itu dijalankan secara berterusan menerusi Operasi Jamin (Op Jamin) yang diperkenalkan pada 1 Julai lalu.

Ia melibatkan kerjasama Kawalselia Padi dan Beras serta Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Kementerian itu turut melancarkan Operasi Beras Putih (Op BPT) pada 16 Ogos lalu yang memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan di peringkat pengilang padi dan pemborong beras di seluruh negara.

Sebarang kesalahan mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), boleh menyebabkan lesen pihak terbabit dibatal atau digantung menerusi kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

Anda Mungkin Berminat