Babitkan MPP, Kesatuan Mahasiswa rangka garis panduan aktiviti hiburan di kampus

Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) mengarahkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kesatuan Mahasiswa (KM) dibabitkan dalam proses merangka dan menyediakan garis panduan aktiviti hiburan termasuk konsert di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menerusi satu kenyataan, JPT berkata arahan kepada semua pengurusan IPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi itu dibuat bagi memastikan suara dan keperluan mahasiswa serta kesesuaian di setiap IPT dan lokaliti diambil kira sebelum ia diguna pakai secara rasmi di peringkat IPT masing-masing.

Menurut JPT, ia selari dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu suara mahasiswa diambil kira dalam proses merangka garis panduan berkenaan.

“Selaras pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi supaya garis panduan menjalankan aktiviti hiburan di IPT perlu dirangka dan disediakan oleh IPT melalui pembabitan MPP dan KM.

“JPT sehubungan dengan ini mengarahkan Pengurusan IPT untuk memastikan MPP atau KM dilibatkan dalam proses perangkaan garis panduan agar ianya mengambil kira suara dan keperluan mahasiswa serta kesesuaian di setiap IPT dan lokaliti sebelum ini diguna pakai secara rasmi di peringkat IPT masing-masing.

“Ruang dan peluang yang diberikan kepada pelajar ini sebagai elemen pemerkasaan mahasiswa selaku pemegang taruh utama, sekali gus menepati langkah agenda pemerkasaan mahasiswa yang sedang dibawa oleh Menteri Pendidikan Tinggi,” menurut kenyataan itu.

Ia sekali gus menepati langkah agenda pemerkasaan mahasiswa yang sedang dibawa Menteri Pendidikan Tinggi.

Berkenaan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di IPT di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sebelum ini tular di media sosial, JPT menegaskan, ia masih di peringkat saranan sebagai rujukan IPT dalam membangunkan garis panduan masing-masing.

Datuk Seri Mohamed Khaled sebelum ini berkata, KPT menyerahkan kepada mahasiswa dan pengurusan setiap IPT untuk menentukan garis panduan sebarang aktiviti hiburan atau konsert, yang hendak diadakan di institusi pengajian mereka.

KPT ketika ini lebih menumpukan kepada usaha memperkasa mahasiswa, supaya institusi negara dapat melahirkan graduan yang berkualiti.

Anda Mungkin Berminat