Teo Nie Ching ketuai kepimpinan Wanita DAP 2023-2026

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dipilih sebagai Ketua Wanita DAP yang baharu menggantikan penyandangnya, Chong Eng pada kongres sayap itu di Hotel Mariott Putrajaya, hari ini.

Chong, bekas Ahli Parlimen Bukit Mertajam dilantik sebagai penasihat sayap itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dipilih sebagai Timbalan Ketua Wanita, manakala jawatan naib disandang Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman serta bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula, tersenarai sebagai ahli jawatankuasa.

Semua jawatan dipilih tanpa pertandingan selepas hanya 15 pencalonan diterima untuk 15 jawatan dalam barisan kepimpinan sayap wanita parti itu.

Ditemui media, Teo berkata beliau akan memberikan fokus untuk memperkasa wanita DAP dengan memastikan mereka diberi layanan sama rata di semua peringkat parti.

“Jika wanita ada wakil di semua peringkat kepimpinan, maka lebih mudah perjuangan dan pemerkasaan wanita dapat dilaksanakan,” katanya.

Berikut adalah senarai lengkap kepimpinan Wanita DAP:

Penasihat: Chong Eng
Ketua Wanita : Teo Nie Ching
Timbalan Ketua : Yeo Bee Yin
Naib Ketua: Young Syefura Binti Othman
Naib Ketua: Kasturiraani A/P Patto
Setiausaha: Wong May Ing
Penolong Setiausaha: Nicole Tan Lee Koon
Bendahari: Alice Lau Kiong Yieng
Setiausaha Organisasi: Liow Cai Tung
Penolong Setiausaha Organisasi: Thulsi Manogaran
Setiausaha Publisiti: Heng Lee Lee
Penolong Setiausaha Publisiti: Lim Yi Wei
Setiausaha Antarabangsa: Jannie Lasimbang
Pengarah Pendidikan Politik: Syerleena Binti Abdul Rashid
Biro Undang-Undang: Sangeet Kaur Deo