Fasa peralihan monsun dijangka bermula Selasa ini – MetMalaysia

Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 19 September 2023 (Selasa) ini dan berterusan sehingga November 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Helmi Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 15 Mei lepas.

“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” menurut kenyataan itu.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Anda Mungkin Berminat