Pelajar Malaysia dinobat pendebat Bahasa Arab terbaik dunia

Seorang pelajar tingkatan lima, Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan telah mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya dinobatkan sebagai pendebat bahasa Arab terbaik di dunia.

Gelaran Pendebat Terbaik (kategori bukan penutur jati Bahasa Arab) itu diterima pelajar tersebut selepas memenangi Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa 2023.

Setelah tujuh tahun terlibat aktif dalam pertandingan debat, kemenangan tersebut adalah kenangan termanis buat remaja tersebut.

Bersyukur atas rezeki yang dikurniakan Ilahi, Wan Amzar mengakui dirinya perlu melalui pelbagai cabaran yang sukar untuk memperoleh gelaran tersebut.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin itu perlu menewaskan peserta daripada 34 negara untuk memenangi kejohanan tersebut.

“Syukur kepada Allah, atas izin-Nya saya mendapat pengiktirafan tersebut. Saya yakin ramai rakyat negara kita yang bercita-cita mahu mengharumkan nama negara.

“Bila ke sana (Doha), kita ibarat orang asing yang pergi ke sebuah tempat. Susah nak bergaul atas kekangan bahasa kerana mereka sememangnya fasih bahasa Arab kerana ia bahasa mereka.

“Sedikit sebanyak rasa macam rendah diri juga. Namun atas kejayaan yang diperoleh ini membuktikan semangat Malaysia Boleh!,” katanya.

Selain Wan Amzar, rakan sekolahnya, Abdul Muizz Hasanulddin turut berhasil meraih gelaran pendebat bahasa Arab kedua terbaik di dalam kejohanan yang sama.

Beliau berkata, dia dan pasukan sudah mula membuat persediaan sejak Jun lalu dengan bimbingan jurulatih.

Dalam bulan yang sama, mereka menyertai pusingan kelayakan secara atas talian (online) dan berjaya mendapat tempat pertama bagi kategori bukan penutur jati.

Mereka kemudian berlepas ke Doha baru-baru ini untuk berentap dengan 16 pasukan lain daripada pelbagai negara termasuk dari Bahrain, Algeria dan juga Jordan.

Berdepan dengan detik sukar ketika berhadapan dengan peserta yang fasih berbahasa Arab, Wan Amzar mengaku terpaksa mengamalkan konsep ‘ahli nujum’.

“Ketika mereka berdebat, kami sukar untuk memahami apa yang disampaikan sebab (bahasa Arab) terlalu ‘advance’. Masa itulah kami main ramal ala-ala ahli nujum.

“Saya memegang prinsip, kalau kita jadi rumput, jadilah rumput yang terbaik di bumi. Kalau jadi bintang, jadilah bintang terbaik di langit,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat