Negeri

Usaha Sarawak perangi penyalahgunaan dadah diiktiraf di peringkat antarabangsa

Usaha Sarawak perangi penyalahgunaan dadah diiktiraf di peringkat antarabangsa

Usaha Sarawak perangi dadah diiktiraf antarabangsa

Usaha Sarawak dalam memerangi penyalahgunaan dadah telah mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Pengawasan Pengurangan Permintaan Dadah daripada International Society of Substance Use Professionals (ISSUP Global).

Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISSUP Global, Joanna Travis-Roberts kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah yang mewakili kerajaan negeri, semasa pembukaan Simposium Pemulihan Antarabangsa (IRS) 2023 di Kuching.

Ia bagi mengiktiraf pendekatan bersepadu, komprehensif, seimbang, terselaras dan berasaskan bukti terhadap aktiviti pengurangan permintaan dadah yang dirintis oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Fatimah, berkata usaha memerangi penyalahgunaan dadah di Bumi Kenyalang telah dipergiat pada 2019 dengan penubuhan Jawatankuasa Sehenti (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah dan Bahan Terlarang sebelum kerajaan negeri mewartakannya sebagai isu keselamatan pada Julai 2020.

“Cara paling berkesan dalam mengatasi isu dadah melibatkan pendekatan komprehensif, seimbang dan terselaras yang menangani kawalan bekalan dan pengurangan permintaan beserta penerapan prinsip tanggungjawab dan tindakan bersama yang bersesuaian,” katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak bimbang dengan peningkatan masalah penyalahgunaan dadah di peringkat global susulan perubahan pesat dari segi sosial dan ekonomi selain ketersediaan serta promosi dadah dan permintaan terhadapnya.

“Terdapat peningkatan ketara dalam masalah penyalahgunaan dadah di peringkat global yang menyebabkan orang ramai terutama generasi muda lebih terdedah dan mungkin terlibat,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga tidak terlepas daripada terkena tempias ini apabila Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 mendedahkan bahawa 60,000 rakyat negara ini berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun menggunakan dadah manakala sejumlah 106,000 orang cuba berbuat demikian sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka.

Agensi Antidadah Kebangsaan pula mendaftarkan sejumlah 137,176 penagih antara Januari hingga April tahun ini.

Premier Sarawak itu berharap pertukaran ilmu di IRS 2023 akan memacu transformasi dasar, intervensi dan komuniti ke arah membina masa depan dengan isu ketagihan lebih difahami manakala rawatan dan pemulihan dapat diakses oleh semua pihak.

Kira-Kira 900 peserta dari 23 negara mengambil bahagian dalam simposium empat hari yang bermula hari ini dan menampilkan 19 penceramah dan pembimbing yang akan membincangkan pelbagai topik berkaitan pencegahan, rawatan serta pemulihan dalam mengurangkan permintaan terhadap dadah.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close