Malaysia berpendirian tegas bantah perbuatan bakar kitab suci al-Quran

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyatakan pendirian tegas Malaysia bahawa perbuatan membakar kitab suci al-Quran tidak dapat diterima sama sekali ketika pertemuan singkat dengan Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat.

Menerusi hantaran di Facebook, Zambry berkata, Malaysia mengutuk sebarang tindakan melampau yang membakar mana-mana kitab agama lain.

“Hari yang baru di UNGA 78, New York. Saya terserempak dengan Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson”, katanya.

Menurutnya, perbincangan mengenai masalah Islamophobia yang berlaku di Sweden turut dibincangkan bersama.

“Saya menyatakan pendirian Malaysia yang tegas iaitu perbuatan membakar kitab suci al-Quran tidak dapat diterima sama sekali.

“Demikian juga Malaysia mengutuk sebarang tindakan melampau yang membakar mana-mana kitab agama lain,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga sempat berbincang sekejap dengan Kristersson mengenai hubungan Malaysia dan Sweden.

Beliau juga melihat kerjasama yang lebih utuh dapat ditingkatkan antara Sweden dengan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan meneroka kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia-Sweden dalam masa terdekat”, kata Zambry.