Kapsul kapal angkasa bawa sampel asteroid mendarat di Bumi – NASA

Kapsul kapal angkasa yang membawa sampel asteroid pertama Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), mendarat di kawasan padang pasir di Utah, sekali gus melengkapkan perjalanan selama tujuh tahun.

Saintis menaruh harapan yang tinggi untuk sampel itu dengan mengatakan ia akan memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai pembentukan sistem suria dan bagaimana bumi menjadi boleh didiami.

“Apabila mengetahui kapsul itu mendarat saya benar-benar menangis.

“Itulah saat saya tahu kita berjaya membawanya pulang, bagi saya sains sebenar baru bermula,” kata penyiasat utama misi Osiris-Rex, Dante Lauretta pada sidang akhbar.

Perjalanan sejauh 3.86 bilion batu (6.21 bilion kilometer) itu menandakan misi pemulangan sampel pertama seumpamanya, menurut NASA dalam catatan di X.

Ketua NASA, Bill Nelson memuji misi itu dan berkata, habuk asteroid ‘akan memberi saintis gambaran yang luar biasa ke dalam permulaan sistem suria’.

Kapsul berkenaan dilepaskan daripada kapal angkasa OSIRIS-REx, pada jarak 100,000 kilometer dari bumi dan mendarat selepas perjalanan empat jam.

Saintis juga menjangkakan memperoleh sekurang-kurangnya secawan serpihan daripada asteroid yang kaya dengan karbon, dikenali sebagai Bennu.

Satu sudu teh sampel daripada asteroid yang sama pernah dibawa pulang oleh Jepun sebelum ini.

OSIRIS-REx memulakan misi angkasa bernilai AS$1 bilion pada 2016 dan ia tiba di Bennu dua tahun kemudian.

Kapal berkenaan kemudian mengutip sampel batu dan serbuk dari Bennu pada 2020.

Sampel asteroid Bennu akan diterbangkan ke makmal NASA di Pusat Angkasa Johnson, di Houston, Amerika Syarikat. – AFP

Anda Mungkin Berminat