Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan India bagi menyatakan hasrat untuk memastikan negara itu terus mengeksport beras putih kepada Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya ingin mengadakan perbincangan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G) itu sebagai langkah memastikan bekalan beras putih terus mencukupi buat rakyat negara ini.
Katanya, ia berikutan kebimbangan apabila kerajaan di India itu menyekat pengeksportan beras putih secara mengejut yang bakal membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia.
“Kita (MAFS) sekarang sedang berhubung bagi mendapatkan tarikh sesuai untuk pergi ke sana supaya kita boleh berbincang secara G2G.
“Jika mereka menyekat beras putih secara mengejut, ia membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia ini. Beras basmathi ada, boleh import banyak, tetapi beras basmathi ini mahal.
“Dengan G2G ini, dapatlah kita minta mereka meneruskan untuk eksport beras putih ke Malaysia, itu harapan kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram di Johor Bahru, malam tadi.
Hadir sama, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengerusi Parti AMANAH Negara (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan.
Mohamad berkata, pihaknya berharap mendapat maklum balas segera bagi membolehkan pertemuan dengan Kerajaan India itu dilakukan secepat mungkin, sebelum hujung tahun ini.
Pada masa sama, beliau berkata, isu bekalan beras putih kini menjadi masalah dunia, namun bekalan beras di negara ini masih mencukupi.
“Sekarang ini kita lakukan tuaian di Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda), dalam masa tidak sampai sebulan ini, ia akan berada di pasaran dan sekarang pun kita ada cuba untuk top-up (tambah) mana-mana yang berlaku kekurangan.
“Selain India, kita boleh dapatkan bekalan beras putih ini dari Pakistan, Vietnam atau Thailand, sekarang ini isu kekurangan beras menjadi masalah dunia dan kita ini terjejas, tetapi tidak seteruk berbanding negara lain,” katanya.