Nasional

Ternakan babi bebas penyakit Nipah – Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan ternakan babi di dalam negara, bebas daripada penyakit Nipah yang disebabkan jangkitan virus Nipah.

Dalam satu kenyataan hari ini, DVS memaklumkan hasil survelan tahunan terkini sehingga Ogos lalu ke atas 399 sampel babi komersial mendapati keputusan ujian adalah negatif penyakit berkenaan.

“Pada awal 2001 Malaysia diisytihar bebas daripada penyakit Nipah oleh World Organisation for Animal Health (OIE).

“Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan status bebas Nipah negara melalui program survelan berkala,” menurutnya.

DVS berkata, jangkitan virus Nipah boleh tersebar melalui sentuhan langsung dengan haiwan terjangkit, udara yang dicemari dengan titisan pernafasan, rembesan dari hidung dan mulut atau tisu dari haiwan yang terjangkit.

Penyakit Nipah pertama kali dikesan di negara ini pada 1998 melibatkan ladang babi di Perak dan merebak ke Negeri Sembilan.

Ia menyebabkan kerugian besar kepada penternak haiwan itu dan ekonomi negara serta meragut 105 nyawa manusia.

Justeru, usaha pembasmian secara besar-besaran melibatkan pelbagai jabatan dan agensi telah dijalankan ketika itu.

Mengulas lanjut, penyakit terbabit disenaraikan dalam Penyakit Wajib Lapor yang diwartakan mengikut Akta Binatang 1953 perkara 31 (1) oleh DVS.

“Dalam memastikan industri ternakan babi di Malaysia bebas dari sebarang ancaman penyakit, DVS akan terus menjalankan survelan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar penyakit yang bersifat zoonotik (berjangkit kepada manusia) ini dapat dicegah dari masuk ke dalam negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, penternak babi dinasihatkan untuk tidak menanam pokok buah-buahan di dalam dan sekitar kawasan ladang yang boleh menarik haiwan terutama keluang (famili spesis kelawar) yang berkebolehan untuk menjadi perumah semula jadi virus Nipah.

Orang awam juga dinasihat untuk melaporkan sebarang kejadian penyakit berjangkit dalam ternakan seperti babi, kuda atau haiwan peliharaan kepada DVS untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, tiada kes baharu penyakit Nipah dalam kalangan manusia di negara ini sejak kes terakhir dikesan di Malaysia pada 27 Mei 1999.

Kenyataan beliau susulan terdapat pelbagai maklumat di media massa berhubung kejadian wabak penyakit Nipah di India ketika ini.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close