KPWKM sedia ekosistem, sokong penglibatan wanita dalam ekonomi – Nancy

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited bagi meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu termasuk menyediakan ekosistem yang mampu menyokong penglibatan wanita dalam ekonomi.

Ini termasuk penyediaan akses kepada latihan dan pembangunan kapasiti seperti program Penjanaan Pendapatan Wanita (Wejana).

“Fokus kita lebih kepada penjanaan ekonomi iaitu ekonomi penjagaan.

“Kita ingin penuhi pasaran, sebab kita tahu di luar tiada siapa yang ingin beri (golongan wanita ) pekerjaan”, kata Nancy selepas merasmikan Wejana 2023 di Kota Kinabalu pada Selasa.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.

Nancy berkata, kementeriannya turut komited untuk terus memperkukuh ‘2 Year Exit Programme’ (2YEP) bagi membantu lebih ramai golongan wanita terlibat dalam perniagaan seterusnya menjana ekonomi dan pendapatan.

Mengenai Wejana 2023, Nancy berkata, program itu memberi fokus kepada golongan suri rumah yang terlibat dengan penjagaan tanpa gaji supaya mereka mampu memperoleh pendapatan dan pada masa sama menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga.

Beliau berkata, objektif utama program itu ialah untuk membimbing peserta menjana sekali gus meningkatkan pendapatan kendiri dan memberi latihan sistematik bagi memulakan perniagaan khususnya dalam talian.

Menurutnya, 35 daripada 200 peserta terpilih menyertai program itu adalah dari Sabah, dengan empat aspek diketengahkan dalam modul bimbingan iaitu pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran, penjenamaan perniagaan serta perkhidmatan pelanggan.

Nancy berkata, Wejana juga adalah antara komitmen kementeriannya untuk menyediakan ekosistem yang menyokong usaha meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam ekonomi selain bantuan kewangan bagi program Wanita Bangkit menerusi Yayasan Kebajikan Negara.

“Ini adalah kesinambungan program pemerkasaan wanita dilaksanakan secara strategik melalui agensi KPWKM bagi menjana pendapatan kaum wanita dan mengurangkan kebergantungan kepada orang lain,” katanya.

Anda Mungkin Berminat