Perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan kembali dimeriahkan selepas 3 tahun ditiadakan

Acara perarakan kembali memeriahkan sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini, selepas tiga tahun acara itu ditiadakan.

Perarakan bermula dari Jambatan Seri Gemilang ke PICC dengan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Seramai 3,700 peserta membabitkan 131 kontinjen mewakili kementerian, badan berkanun dan agensi swasta mengambil bahagian berarak sejauh 1.1 kilometer.

​​​​​​​Bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia MADANI’, acara kemuncak sambutan bermula pada jam 10 pagi ini dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Jemaah Menteri.

Sambutan Maulidur Rasul adalah acara rasmi kerajaan yang disambut setiap tahun di peringkat Persekutuan dan negeri bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah baginda.

Sambutan kali ini akan menyaksikan seorang penerima anugerah perdana manakala enam penerima lagi Anugerah Maulidur Rasul atas sumbangan cukup bermakna dalam pembangunan ummah serta negara.

Penganjuran kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan seni media pemetaan cahaya pada latar pentas hasil gabungan inovasi dan suntikan elemen teknologi.