PM Anwar undang Ahmad Dhani ke majlis Maulidur Rasul di Putrajaya

Vokalis kumpulan terkenal Indonesia, Ahmad Dhani bakal melakukan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Pertemuan tersebut akan menjadi perjumpaan kali kedua buat Dhani, 51, bersama Anwar.

Beliau sebelum ini berpeluang bertemu Anwar sewaktu kunjungan beliau sempena program Temu Anwar yang berlangsung di Jakarta pada awal bulan ini.

“Esok (Jumaat) sekitar pukul 5 petang Dhani akan bertemu PM Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri kerana ada sambutan Maulidur Rasul.

“Insya-Allah, PM juga akan datang ke konsert DEWA19 : A Night at The Orchestra – Chapter 5 (Live in Malaysia) pada sebelah malam.

“Sebenarnya, PM mahu jumpa Dhani dan Dhani juga mahu jumpa Anwar. Memang mereka sudah berjumpa di Jakarta tapi selaku tuan rumah kali ini, beliau mahu bertemu di sini,” ujar penganjur konsert, Iman Tang dari Icon Entertainment sewaktu sidang media yang diadakan di Axiata Arena, malam tadi.

Dhani sewaktu ditanya mengenai harapan terhadap pimpinan Perdana Menteri ke-10 tersebut mengharapkan Anwar mampu membuat sebuah perubahan yang besar.

“Harapan saya Anwar mampu membuat sebuah perubahan besar dan mewujudkan harapan daripada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau malah secara berseloroh mengatakan oleh kerana persamaan mereka yang pernah dipenjara, dirinya berharap Anwar mampu mencipta sejarah.

“Kerana PM Anwar pernah masuk penjara, saya juga pernah (penjara). Bezanya hanya beliau 11 tahun dan saya 11 bulan dan saya berharap Anwar mampu menjadi Perdana Menteri yang paling bagus dalam sejarah di Malaysia,” katanya.

Dhani bersama anggota Dewa 19 berada di Malaysia sempena konsert DEWA19 : A Night at The Orchestra – Chapter 5 (Live in Malaysia) yang berlangsung malam ini.

Ini merupakan konsert pertama dengan format orkestra yang dibawakan oleh Dewa 19 bersama 54 pemuzik orkestra penuh dari Malaysia. Ia bakal dipimpin oleh konduktor muzik dari Indonesia, Guntur Nur Puspito.

Dewa 19 yang turut menjemput Shila Amzah, Amir Masdi dan Jaclyn Victor sebagai penyanyi undangan dijangka membawakan 34 buah lagu yang disifatkan sesuai dengan alunan orkestra. – Gempak

Anda Mungkin Berminat