Penyerahan semula aset Tabung Haji bukti komitmen Kerajaan Perpaduan – Mohd Na’im

Penyerahan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan, untuk memartabat badan itu selaku institusi berdaya saing serta model pengurusan terbaik, yang menghayati nilai Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu juga mengambil-kira keupayaan dan kestabilan kewangan TH setelah kejayaan pelan penstrukturan dan pemulihannya.

“Tabung Haji akan memulakan perbincangan secara rasmi bersama pihak Kementerian Kewangan untuk langkah-langkah pentadbiran pengambilan semula aset Tabung Haji.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk melonjakkan TH dengan tadbir urus integriti dan profesional demi menjaga kepentingan umat Islam dan para pendeposit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada sambutan Ulang Tahun Jubli Intan TH semalam, Anwar berkata, kerajaan akan mengorak langkah untuk menyerahkan semula aset TH bernilai RM20 bilion yang sebelum ini diletakkan di bawah Syarikat Bertujuan Khas, SPV.

Keputusan untuk memulakan perbincangan jelas beliau, dibuat selepas pihaknya berpuas hati TH kini kembali diurus dengan baik, dengan prestasi kewangan terus memulih.

Tegasnya, penyerahan semula aset itu juga membuktikan, dakwaan kononnya aset TH terbabit sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah satu pembohongan.

Anda Mungkin Berminat