PM Anwar terima kunjungan vokalis Dewa 19, Ahmad Dhani

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan vokalis Dewa 19, Dhani Ahmad Prasetyo atau lebih dikenali Ahmad Dhani di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Melalui hantaran di Facebook miliknya, beliau turut menitipkan ucapan tahniah atas penganjuran konsert kumpulan terkenal Indonesia Dewa 19 di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.

Katanya, diharapkan benih industri muzik Malaysia dan Indonesia dapat terus subur dan merkar dalam menjiwai rumpun kebersamaan.

“Tahniah Ahmad Dhani dan Dewa 19 atas konsert yang luar biasa hebat malam tadi di Bukit Jalil.

“Moga benih industri muzik Malaysia dan Indonesia terus subur dan mekar dalam menjiwai rumpun kebersamaan serta keharmonian sejagat.

“Teruskan berkarya!,” katanya, hari ini.

Ahmad Dhani bersama anggota Dewa 19 mengadakan Konsert Dewa 19 A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia, semalam.

Pada konsert itu, selama tiga jam itu, Dewa 19 menyampaikan 34 lagu dengan diiringi 54 pemuzik orkestra dari Malaysia.

Diketuai maestro muzik Indonesia selaku konduktor, Guntur Nur Puspito, kumpulan asal Surabaya yang ditubuhkan sejak 1986 itu turut berkolaborasi dengan tiga artis tempatan iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi.

Antara lagu yang didendangkan adalah Arjuna, Elang, Risalah Hati, Roman Picisan, Bukan Cinta Manusia Biasa dan banyak lagi.

Konsert dibawakan khas oleh Icon Entertainment itu dibanjiri sekitar 7,000 penonton yang menggelarkan diri Baladewa dan Baladewi.

Anda Mungkin Berminat