Radja tidak akan serik beraksi di Malaysia walaupun berdepan trauma

Mac lalu gempar apabila kumpulan Radja diugut bunuh ketika melakukan konsert di negara ini.

Namun episod hitam itu tidak meninggalkan parut untuk Radja kembali semula ke Malaysia untuk mengubat rindu peminat.

“Kuala Lumpur itu seperti rumah kedua Radja jadi Radja wajib untuk datang lagi ke Malaysia untuk ketemu dengan peminat peminat Radja yang berada di sini”, ujar vokalisnya, Ian Kasela.

Bahkan Radja juga beranggapan konsert yang akan datang itu ibarat membuka lembaran baharu bagi konsep yang akan diperkenalkan nanti.

Malah manisnya, paduan hebat muzik rock antara dua benua Malaysia-Indonesia turut akan dirasai dengan kehadiran ratu rock negara, Ella.

Pada 12 Mac lalu, Radja menerima ancaman bunuh daripada dua individu dipercayai wakil pihak penganjur selepas selesai konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.

Terdahulu, kumpulan ini hadir bertemu media sempena ‘Live In Concert Radja, Special Appearance Ella’, di Kuala Lumpur.

Radja bakal bersatu bersama Ella dalam konsert itu pada 12 November 2023 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.