Jutawan terkenal, Elon Musk disiasat Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) berhubung pembelian gergasi media sosial Twitter tahun lalu.
Pengawal selia itu turut memohon perintah mahkamah mengarahkan Musk mematuhi sepina untuk hadir memberi keterangan.
Menurut pemfailan kes itu, Musk masih gagal hadir untuk keterangan yang diperlukan walaupun sebelum ini sudah bersetuju dengan perkara itu.
Siasatan kini berlangsung sama ada Musk melanggar undang-undang sekuriti persekutuan berkaitan pembelian saham Twitternya pada 2022, serta kenyataan dan pemfailan SEC yang dibuatnya berhubung perjanjian itu.
Musk memperoleh Twitter tahun lalu selepas mengumpul kepentingan minoriti yang besar dalam platform media sosial, yang didakwa gagal didedahkan tepat pada masanya.
“SEC sudah mengambil keterangan Musk beberapa kali dalam penyiasatan ini. Sudah-sudahlah,” menurut peguam Musk, Alex Spiro dalam satu kenyataan.
Dalam satu kenyataan, SEC berkata mereka kini sedang mencari ‘keterangan Musk untuk mendapatkan maklumat yang belum ada dalam simpanan SEC, yang relevan dengan siasatannya yang sah dan mengikut undang-undang’. – REUTERS