MAIWP akan bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi membantu asnaf di sekitar Ibu Negara

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerjasama itu penting agar tidak berlakunya pertindihan bantuan.

“Hasrat dia supaya tidak berlaku pertindihan, jadi tiada contohnya dalam konteks pertindihan ini nanti ada golongan asnaf yang miskin tadi dia dapat sampai JKM dia dapat, MAIWP dia dapat, jadi ada pula yang tertinggal.

“Jadi saya fikit dalam konteks penyelarasan ini memang saya setuju sangat maknanya dalam konteks MAIWP ini kita buat agihan zakat seperti ini, jadi saya rasa mungkin DBKL atau JKM atau mungkin boleh bertindak sebagai agensi yang ‘lead, it’s a lead’ agensi dan MAIWP sentiasa bersedia dalam konteks ini.

“Dengan adanya kerjasama MAIWP, JKM, DBKL, saya percaya lebih banyak rumah-rumah transit ini dapat kita bina dan lebih ramai lagi golongan geladangan yang dapat kita selamatkan,” katanya pada Program Jejak Geladangan Bersama MAIWP dan juga NGO Pertubuhan Jejak Jalanan di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Mohd Na’im, kerjasama tersebut juga dapat membantu daripada segi agihan supaya lebih sistematik, teratur dan berkesan.

Pada masa yang sama, MAIWP akan menitikberatkan soal keselamatan golongan gelandangan bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku kepada mereka.

Beliau berkata, pihaknya sedia maklum beberapa insiden berlaku terhadap golongan gelandangan seperti penemuan mayat serta kes pukul yang dilaporkan, baru-baru ini.

“Apa yang mereka perlukan adalah tempat berlindung kerana apabila berada di luar sana, mereka terdedah kepada pelbagai kerenah orang, selain isu lain seperti gelandangan uzur.

“Sebagai manusia biasa, mereka mungkin ada buat silap atau terambil barang orang lain menyebabkan ada yang marah sehingga memukul,” katanya.

Mohd Na’im berkata, pihaknya akan meneliti permasalahan berkenaan dan berusaha untuk mencari tempat berlindung buat golongan gelandangan beragama Islam.

“Kalau kita boleh cari tempat untuk mereka berteduh, berlindung dan duduk di rumah untuk mengelak perkara sedemikian.

“Selain itu, anak-anak mereka juga akan rasa selamat dan dapat menjaga kebersihan apabila duduk di rumah, berbanding ketika berada di jalanan.

“Jadi, Insya-Allah isu keselamatan (golongan gelandangan) akan dapat diatasi dan ia adalah perkara yang pihak Maiwp sedang uruskan,” katanya.