Belanjawan 2024: Kerajaan akan salur lebih banyak dana untuk tingkatkan taraf hidup Orang Asli

Kerajaan memberi jaminan peruntukan bagi Orang Asli tidak akan dipotong, bahkan bakal ditambah dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan tidak akan berkompromi tentang aspek kebajikan masyarakat pribumi tersebut, khususnya berkaitan aspek pendidikan supaya generasi Orang Asli berupaya keluar daripada kepompong kemiskinan, sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka.

“Kita sedang melaksanakan sesi libat urus belanjawan dan tentunya semua kementerian terlibat seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang menjaga hal ehwal Orang Asli tentunya mereka sudah memuktamadkan apa yang ingin diberikan.

“Saya pasti peruntukan untuk Jabatan Orang Asli ini sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Saya tidak ada perinciannya, tetapi apa yang dipohon selalunya jika melibatkan Orang Asli, Kementerian Kewangan jarang potong.

“Kita sentiasa mengutamakan kemajuan Orang Asli di seluruh negara,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan al-Quran Tafsir Pimpinan Ar-rahman Kepada Pelajar-Pelajar dan Belia Orang Asli Seluruh Johor di Hotel Thistle, pada 20 Ogos lalu.

Ahmad turut memberikan jaminan bahawa kebajikan dan keperluan Orang Asli menjadi antara fokus yang akan diteliti, dalam sesi libat urus belanjawan bersama-sama kementerian yang lain.

Golongan anak muda daripada masyarakat Orang Asli turut tidak terkecuali untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi.

“Apa yang saya lihat tentang Orang Asli ini, yang pentingnya adalah soal pendidikan anak-anak mereka. Sebahagian Orang Asli ini pekerjaannya pelbagai, tetapi bukanlah yang bergaji tinggi. Jadi, kita tidak mahu anak-anak Orang Asli ini mewarisi pekerjaan ayahnya.

“Mereka patut menjadi akauntan, doktor atau profesional yang lain seperti bidang pengurusan atau menjadi pensyarah dan itu yang kita harapkan. Agar generasi kedua Orang Asli tidak mewarisi pekerjaan yang bukan berpendapatan tinggi dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.