Isu gaji rendah membabitkan anggota baharu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada dibincangkan secara dalaman di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan mencari jalan keluar dan berikhtiar untuk menangani isu berkenaan.
“Hal itu memang dibincangkan secara dalaman oleh kami, ia dalam pengetahuan saya.
“Sudah tentu kita akan berusaha mencari ikhtiar, jalan keluar bagi mencari jawapan bagi perkara itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN, di Putrajaya, hari ini.
Ditanya sama ada isu gaji tersebut turut dikemukakan pihaknya dalam Belanjawan 2024, Saifuddin berkata, beliau tidak mahu membuat pengumuman awal sehingga pembentangan oleh Perdana Menteri esok.
“Kita akan lihat balik sebab kita sudah ‘conclude’ (muktamadkan) permohonan bajet kita, ada bahagian (membabitkan) emolumen, operasi dan pembangunan,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan, setiap anggota baharu dalam PDRM boleh dikategorikan sebagai kumpulan miskin apabila menerima gaji permulaan sebanyak RM1,441.
Paling menyedihkan apabila anggota dalam kategori terbabit ditugaskan di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, yang menjadikan mereka sebagai miskin bandar.
Jelasnya, anggota terbabit menandatangani jawatan rekrut konstabel dengan tangga gaji RM1,441 dan selepas tamat latihan diberikan gaji dan elaun berjumlah RM1,800.
Mohd Shuhaily berkata, selain masalah anggota dalam kategori miskin atau B40, terdapat juga pegawai atau anggota yang sanggup menolak kenaikan pangkat kerana tidak mahu berpindah ke tempat tugas baharu yang mungkin lebih membebankan keluarganya yang mengalami pelbagai jenis penyakit.