Hiburan

Belanjawan 2024: 7 persatuan seni berterima kasih kepada PM Anwar

Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) yang terdiri daripada gabungan tujuh persatuan seni utama industri perfileman negara menyambut baik Belanjawan 2024.

Presiden GAFEMA, Pansha berkata, gabungan itu berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan memperkasakan pembangunan industri perfileman tempatan seiring kemajuan ekonomi negara.

“GAFEMA yakin dan percaya, Belanjawan 2024 akan merangsang pertumbuhan industri kreatif negara. Pada masa sama, industri kreatif juga menyokong industri lain secara keseluruhan yang berkaitan.

“Kefahaman Perdana Menteri berkaitan aktiviti seni budaya bukan sekadar hiburan adalah sangat dikagumi bagi membantu memelihara, melestari dan menyebarkan warisan budaya dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

GAFEMA diwakili Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM); Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN); Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (MEWA).

Gabungan turut disertai Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM); Persatuan Pasca Produksi, Animasi dan Kandungan Kreatif Malaysia (POSTAM) serta Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS).

Pansha berkata, bagi GAFEMA, pelbagai insentif menarik Belanjawan 2024 akan memberi manfaat dalam mendukung usaha penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“RM60 juta peruntukan di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan secara langsung mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara dalam pelbagai pekerjaan seperti artis, pengarah filem, kru belakang tabir dan banyak lagi.

“Peruntukan RM90 juta di bawah insentif Film in Malaysia Incentive (FIMI) akan terus menggalakkan penghasilan filem tempatan bertaraf antarabangsa. FIMI menjadikan Malaysia sebagai hab destinasi penggambaran antarabangsa.

“Pindaan menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara sifar hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru secara langsung menarik minat kemasukan produksi filem asing membuat penggambaran di Malaysia.

“Selain itu, pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas, acara hiburan seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan di Selangor dan Wilayah Persekutuan, harus dicontohi negeri lain yang mengenakan duti hiburan.

“Kadar 25 peratus duti hiburan sedia ada yang terpaksa ditanggung rakyat adalah antara duti hiburan tertinggi di dunia,” katanya.

Selain itu, Pansha turut menghargai usaha kerajaan menganjurkan semula Anugerah Seni Negara sebagai acara tahunan. Bagi GAFEMA, ini memberi makna kerajaan menghargai jasa serta sumbangan penggiat seni kepada negara.

“Usaha kerajaan mengembalikan penganjuran Anugerah Seni Negara secara tahunan bagi mengiktiraf dan memberi penghargaan tahap tertinggi kepada tokoh, penggiat seni, budaya dan warisan, sangat dihargai,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close