Bapa ugut anak tak solat dengan pisau kena penjara 12 bulan

Seorang lelaki mengaku bersalah mengugut anaknya dengan pisau disebabkan tidak mendirikan solat dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, Tawau, Sabah.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Don Stiwin Malanjum selepas tertudur, Ardi Aris, 32, mengaku bersalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan niat mendatangkan ketakukan terhadap anaknya dengan cara mengacukan sebilah pisau. 

Menurut laporan Harian Metro kejadian tersebut berlaku di rumah mereka di Batu 8 Jalan Tiku pada 4 Ogos lalu pukul 9 pagi. 

Mengikut fakta kes, insiden itu berlaku ketika tertuduh pergi ke rumah bekas iparnya sebelum bergegas ke dapur dan mengambil sebilah pisau. 

Terduduh kemudian mengacukan pisau tersebut ke arah mangsa dan mengarahnya untuk solat. 

Disebabkan berasa takut, mangsa menuruti arahan bapanya. 

Mengetahui mengenai perkara itu, ibu saudara mangsa bertindak menghubungi polis. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin sementara tertuduh tidak diwakili peguam. 

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan dibuat iaitu pada 4 Ogos lalu.

Sementara itu, dalam rayuan tertuduh memohon kepada Mahkamah supaya hukuman diringankan dengan alasan sudah insaf selain menyesal atas perbuatan itu. 

Untuk rekod, tertuduh yang bekerja di sebuah premis mencuci kereta sudah bercerai dengan isterinya selain pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu disebabkan disyaki mengalami masalah mental.