Sektor swasta harus sambut isyarat kerajaan, tingkat kadar upah pekerja – PM

Pengiktirafan kerajaan kepada penjawat awam melalui Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) perlu dijadikan satu isyarat kepada sektor swasta untuk meningkatkan kadar upah lebih baik untuk pekerjanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan kadar upah itu perlu diberi tumpuan khususnya bagi syarikat yang mencatatkan keuntungan tinggi, seterusnya memberikan galakkan meningkatkan produktiviti masing-masing.

Beliau berkata, adalah tidak munasabah untuk mengharapkan prestasi produktiviti tinggi, namun kadar upah tidak meningkat.

Menurutnya, kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut mendapati produktiviti bagi pekerja swasta menunjukkan peningkatan, namun kadar upah pekerja meningkat sangat sederhana.

“Saya juga minta sektor swasta ada yang mengadu syarikat untung hingga RM400 juta setahun, tetapi upah pekerja tidak meningkat langsung.

“Jadi, saya harap ‘signal’ diberikan kerajaan untuk memberikan pengiktirafan kepada penjawat awam juga disambut sektor swasta terutama yang mencatat keuntungan baik.

“Bagilah tambahan munasabah dalam keadaan yang ada sekarang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Jumaat lalu, Anwar menerusi pembentangan Belanjawan 2024 mengumumkan bayaran insentif awal RM2,000 untuk penjawat awam dan RM1,000 untuk semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen yang akan dibayar pada Februari tahun depan.

Anwar berkata, keputusannya dalam memberikan bayaran insentif awal kajian SSPA sebanyak RM2,000 menerusi Belanjawan 2024 lalu adalah dibuat untuk rangka lebih luas walaupun ia tidak diusulkan Kementerian Kewangan.

Anda Mungkin Berminat