Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memantau syarah atau kupasan hadis dalam pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah bagi memastikan konteks dan pemahaman itu sampai kepada murid.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata, perkara itu sangat penting bagi mengelak timbul isu di kemudian hari seperti salah tafsir hadis, sekali gus menangani gejala radikalisme dan ekstremisme dalam masyarakat.
“Dari segi pemantauan keberkesanan penyampaian modul ini juga akan dilaksanakan melalui pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri secara berkala,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani).
Taufiq ingin tahu mengenai langkah dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memantau pelaksanaan modul berkenaan bagi memastikan ia tidak disalah tafsir dan jangka masa untuk modul berkenaan disiapkan sepenuhnya.
Pada 19 Ogos lalu, KPM melancarkan modul hadis itu yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, antara lain untuk menerapkan kefahaman agama dan memupuk semangat kasih sayang khususnya dalam kalangan guru dan pelajar beragama Islam.
Program rintis modul itu akan dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara dengan menggunakan modul yang mengandungi kesemua 42 hadis yang terkandung dalam buku Hadis 40 Imam Nawawi.
Fadhlina berkata pihak sekolah boleh merujuk Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dengan memuat turun modul tersebut menerusi pelantar Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) bagi memastikan aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dilaksanakan dengan baik.
Menjawab soalan asal Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta kerajaan menyatakan mengapa lima hadis digugurkan daripada modul berkenaan, Fadhlina mengulangi kenyataannya bahawa KPM tidak pernah melakukan perkara sedemikian.
“Kesemua 42 hadis ini dikekalkan dan tidak pernah digugurkan. KPM merancang untuk melaksanakan perluasan aktiviti penghayatan ini ke semua sekolah KPM yang hanya akan melibatkan murid beragama Islam sahaja mulai tahun 2024,” katanya. – Bernama