Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan daripada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh bagi menyatakan sokongan negara Malaysia susulan serangan dan kekejaman rejim zionis ke atas penduduk Palestin.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, beliau bercakap dengan Ismail dan memaklumkan komited untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, khususnya dalam bentuk makanan dan ubat-ubatan untuk meringankan penderitaan dilalui rakyat di Palestin.
“Memandangkan keadaan teruk di Gaza, saya menyokong pemberhentian segera pengeboman dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah.
“Ia juga mustahak bagi Israel untuk meninggalkan kepatuhan mereka terhadap rampasan kuasa politik, segera melakukan gencatan senjata dengan Hamas dan benar-benar mencari resolusi aman untuk menamatkan konflik yang berterusan,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa perkara utama dan paling penting dengan mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan semua individu yang terjejas oleh krisis ini berbanding perkara lain.
Terdahulu, Anwar memberi jaminan Malaysia akan menyalurkan dana lebih RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.
Beliau berkata, ia akan disalurkan ke tabung kemanusiaan selewat-lewatnya minggu ini.
“Saya dah umumkan bantuan RM10 juta dan insya-Allah, hari khamis sebelum saya berangkat ke Arab Saudi, RM100 juta disalurkan khusus ke Gaza untuk tabung kemanusiaan dan perubatan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.