Menerusi Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Klinik Kesihatan Wanita bagi menangani masalah kesihatan yang dialami atlet wanita.
Memetik laporan Berita Harian, klinik tersebut sudah mula beroperasi sejak 4 Oktober lalu.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, langkah berkenaan dibuat susulan daripada sesi libat urus yang diadakan bersama atlet wanita negara pada Ogos lalu.
“Menerusi sesi libat urus itu, atlet wanita menimbulkan satu isu yang saya lihat agak penting untuk diselesaikan dalam apa-apa masalah dihadapi mereka.
“Jika setiap bulan mereka rasa sakit, mereka tiada doktor wanita atau ginekologi di sini yang boleh beri nasihat kepada mereka.
“Mereka kena beratur di hospital luar dan perlu tunggu temu janji. Ini bermaksud latihan mereka akan tergendala dan mereka kena tahan sakit. Saya minta ISN untuk mewujudkan pakar wanita di sini yang boleh membantu atlet wanita kita,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Selasa.
Klinik yang beroperasi setiap Rabu itu bermula pada pukul 9 pagi hingga 1 petang dan dikendalikan oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pelawat.
Kesemua anggota perubatan tersebut dilantik ISN daripada Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Jerilee Azhary dan seorang doktor wanita secara tetap iaitu Dr Wan Nadiah Zainab Wan Azman.
“Antara perkhidmatan yang diberikan adalah seperti khidmat perundingan dan konsultasi, pemeriksaan kesihatan wanita, rujukan luar dan sesi pendidikan kesihatan wanita.
“Diharapkan perkhidmatan terbaharu ISN ini dapat dimanfaatkan oleh semua atlet wanita di bawah Program MSN dalam bersama-sama membantu menangani isu-isu kesihatan wanita dalam sukan,” katanya.