Global

Trak aiskrim jadi tempat simpan mayat di Gaza

Sedih dan memilukan apabila sebuah trak aiskrim terpaksa dijadikan sebagai tempat penyimpanan mayat korban serangan rejim Israel di Gaza.

Tindakan itu perlu diambil bagi membantu pihak pengurusan hospital apabila angka kematian semakin meningkat.

Trak yang sebelumnya itu menyajikan hidangan manisan kepada pengguna kini bertukar kepada ‘bilik mayat’ yang ditempatkan di kawasan pakir kereta hospital di Gaza, Deir el-Baleh.

Menurut penduduk tempatan, Talaat Abu Lashine, ahli keluarganya juga menjadi antara korban dalam serangan tersebut.

“Kira-kira dua peluru membedil rumah kami pada waktu Subuh yang didiami 16 orang termasuk lapan kanak-kanak yang sedang tidur juga menjadi mangsa,” ujarnya.

Beberapa hari lalu, Israel menggempur Gaza dengan tujuan untuk menewaskan pejuang Hamas yang sebelum ini melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu sehingga mengorbankan sekitar 1,400 orang di Selatan Israel.

Sementara itu serangan udara Israel mengakibatkan 2,750 kehilangan nyawa di Gaza.

Menurut Ketua Biro Media Hamas, Salama Maruf, berkata, sebuah kubur di kawasan luas disediakan bagi mengebumikan kira-kira 100 jenazah susulan banyak mayat tidak dituntut di al-Shifa.

“Memilukan apabila hospital menerima jumlah mayat yang banyak dan bagi mengelakkan jenazah rosak, kubur besar disediakan bagi mengebumikan mereka,” katanya.

Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, bekalan beg mayat juga mengalami kekurangan di Gaza.

“Penduduk Gaza mempunyai kisah tersendiri melibatkan kelangsungan hidup, rasa putus asa dan kehilangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, petugas di tanah perkuburan di Rafah, selatan Gaza, Ihsan al-Natour, berkata, jumlah mayat yang terlalu banyak menyebabkan identiti mereka tidak sempat dikenal pasti.

Kementerian Hal Ehwal Agama Gaza mencadangkan penggunaan kubur secara awam berikutan jumlah kematian yang besar dan kekurangan ruang pengebumian.

Hamas mula mengawal wilayah itu sejak 2007 sementara 1,000 mayat dikhuatiri masih berada di bawah runtuhan, selain memberi amaran risiko penyakit merebak. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close