PM Anwar kecam pengeboman hospital di Gaza

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Israel sebagai gila dan hilang perikemanusiaan apabila mengebom hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza sehingga mengorbankan 500 nyawa.

Anwar berkata, ia satu serangan keterlaluan oleh pihak Zionis terhadap rakyat di Gaza.

Beliau turut menyuarakan rasa kesalnya terhadap negara Barat yang berat sebelah kerana menutup mulut terhadap kekejaman itu yang meragut nyawa ratusan orang Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Perkembangan terkini mengenai serangan Israel itu agak keterlaluan, saya juga turut mengulangi beberapa kenyataan yang telah dibuat mendukung beberapa kenyataan sesetengah pimpinan negara luar yang menyatakan kesal dan mengecam pengeboman hospital Gaza.

“Apa pun yang dituduh siapa pun maknanya ini kesan dari serangan dan perang, sebab itu kita katakan sebaiknya hentikan.

“Ini masa untuk kita redakan keadaan dan hentikan, kalau teruskan ini, mangsanya wanita, anak-anak, pesakit ini sudah sampai ke tahap gila dan hilang perikemanusiaan.

“Dan yang paling dikesalkan ialah negara Barat yang bercakap soal hak kemanusiaan ini rupanya ada kategori, ada manusia kelas satu, ada manusia kelas hamba dan ini kita bantah sekeras-kerasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan pembukaan dan merasmikan Simposiun Laluan Ke Arah Kesejahteraan Lebih Baik Untuk Malaysia di Putrajaya, hari ini.