Seorang wanita berdepan detik hitam apabila dia dirempuh oleh sebuah kenderaan BMW jenis utiliti sukan (SUV) ketika sedang melintas jalan sambil menolak kereta sorong bayi.
Dalam kejadian, wanita dikenali sebagai Rajdeep Kaur, 37, terpelanting beberapa meter disebabkan hentaman kuat.
Insiden yang berlaku di Raleigh Road, Southall, London, Britain itu dirakam menerusi camera litar tertutup (CCTV) turut memperlihatkan pemandu kereta berkenaan bertindak melarikan diri.
Menurut laporan media antarabangsa, Daily Mail, polis tempatan masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti identiti pemandu berkenaan.
Polis juga menarwarkan £5,000 (RM28,792) kepada orang ramai bagi membantu pihak berkuasa mengheret suspek ke muka pengadilan.
Menurut Detektif Davina Nash, nombor pendaftaran kenderaan berkenaan dipercayai palsu dan ini menyebabkan kesukaran untuk polis menjejaki pemilik kereta.
“Ini adalah kes yang sangat sedih. Bagaimanapun kami bersyukur apabila Kaur selamat dalam kejadian mengerikan itu. Tetapi dia mengalami kecederaan pada anggota badan.
“Kami juga bersyukur bayi perempuannya berusia 13 bulan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Polis mengharapkan penangkapan terhadap pemandu terbabit dapat dilakukan segera memandangkan kemalangan terbabit berlaku pada Februari lalu.