Masa terhad dipercayai antara punca amaran TMJ diabaikan

Keadaan padang rumput yang baharu dipasang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mengalami kerosakan ekoran aksi perlawanan skuad Harimau Malaya menentang India sempena Pestabola Merdeka 2023.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mendedahkan bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan amaran sudah dikeluarkan, namun perlawanan tetap terpaksa diteruskan kerana penjualan tiket terhadap aksi perlawanan Malaysia menentang India sudah dijual. 

Disebabkan keadaan rumput yang masih belum matang, TMJ menasihatkan agar memberi tempoh sekitar dua hingga tiga bulan sebelum bersedia untuk digunakan.

Berdasarkan laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi, berkata, situasi tersebut sudah dimaklumkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“FAM berada di situ (ketika TMJ memberi amaran), namun tiket sudah terjual dan dalam tempoh 24 jam nak tukar agak susah.

“Memang benar TMJ ada nyatakan kegusaran pertumbuhan rumput takut tidak mencengkam atau berada pada paras optimum. Kita ada perbincangan bersama FAM tapi itulah show must go on (perlawanan perlu diteruskan),” jelasnya.

Pihaknya juga berusaha sebaik mungkin bagi memastikan keadaan padang SNBJ berada dalam keadaan baik sekali gus menjadi pilihan lokasi terbaik untuk final Pestabola Merdeka pada Selasa. 

Untuk rekod, padang baharu itu menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass yang dianggarkan bernilai sekitar RM1.4 juta.

Anda Mungkin Berminat