Malaysia guna segala usaha diplomatik halang pembunuhan beramai-ramai orang awam di Gaza – Anwar

Malaysia akan menggunakan segala usaha diplomatik dalam bekerjasama dengan rakan negara ini bagi menghalang pembunuhan beramai-ramai orang awam di Gaza dan tidak seharusnya ada keraguan terhadap komitmen negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-undang ASEAN (ALA) ke-14 2023 di Kuala Lumpur, hari ini, Anwar berkata Malaysia percaya dalam menegakkan undang-undang antarabangsa serta keselamatan dan kemakmuran adalah berdasarkan keutamaan peraturan yang mengawal interaksi antara negara.

“Segalanya ada kaitan dengan undang-undang kerana itulah yang sepatutnya kita semua pertahankan pada saat bahaya besar ini dan itu sepatutnya begitu terutamanya bagi negara-negara di dunia yang sentiasa pantas mendakwa bahawa mereka menyokong peraturan berdasarkan perintah antarabangsa.

“Tetapi ia juga tidak ada kena mengena dengan undang-undang kerana negara-negara yang sama ini cepat menangguhkan perbincangan sebegitu apabila ia melibatkan Israel, pendudukan kejamnya terhadap rakyat Palestin dan sikap tidak menghiraukan peraturan berdasarkan perintah antarabangsa,” kata beliau.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat. – Bernama

Anda Mungkin Berminat