Elak masuk ‘U’ untuk kerja gaji RM5,000 sebulan

Beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah individu menyertai rantaian ekonomi gig dilihat semakin meningkat tidak mengira sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

Melihat kepada trend masa kini yang menunjukkan ramai golongan belia khususnya golongan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan (Rider) bagi sektor p-hailing sekali gus tidak berminat untuk menyambung pengajian.

Perkara itu lebih memuncak apabila kerajaan tahun lalu mengumumkan bersetuju menurunkan had umur bagi penunggang motosikal yang membawa barangan termasuk p-hailing daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pada 2021, hampir empat juta individu menyertai ekonomi gig berbanding setengah juta sebelum pandemik Covid-19.

Menurut laporan Harian Metro, Daniel Amir Iskandar Mohd Nasfu, 19, berkata, dia memilih menjadi rider sepenuh masa sejak tahun lalu kerana sudah tidak minat belajar.

“Saya pilih kerjaya ini sebab nak cari duit sendiri dan tak mahu susahkan ibu bapa. Pada masa sama, mudah untuk menjadi rider.

“Lagi pun, kerjaya ini kita urus masa sendiri dan tidak perlu bekerja di bawah tekanan pihak lain seperti majikan,” katanya.

Menurutnya, dia memilih tidak mahu menyambung pengajian kerana pada pendapatnya, tidak perlu memaksa diri melakukan perkara yang bukan minatnya.

“Ini kerana, ia akan jadi sia-sia saja, selain membazir masa dan wang. Jadi, saya fikir lebih baik bekerja apa yang diminati dan buat satu komitmen pada diri.

“Ibu bapa tidak pernah memaksa. Asal saja mereka tahu saya ada kerja. Sekurang-kurangnya saya tidak hanya duduk di rumah,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu juga memberitahu, kerjaya itu mampu membantunya menjana pendapatan tinggi selain dapat meringankan beban keluarga.

“Kerjaya sebagai rider memang mudah dapat wang. Jika rajin, lebih banyak yang kita peroleh.

“Saya bekerja 12 jam sehari dan mampu peroleh antara RM800 hingga RM1,300 seminggu. Saya tidak menyesal pilih kerjaya ini,” katanya.

Untuk rekod, laporan mingguan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), setakat bulan lalu melalui Portal Pekerjaan Nasional Malaysia ada 29,404 individu berusia 15 hingga 19 tahun sedang mencari kerja.

Selain itu, 141,397 individu berusia antara 20 hingga 24 tahun turut mencari kerja.

Anda Mungkin Berminat