Politik

Fathul Huzir letak jawatan Setiausaha Bahagian BERSATU

Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob mengesahkan meletak jawatan sebagai Setiausaha Bahagian BERSATU Gerik, Perak.

Perkara tersebut dibuat dalam satu kenyataan pada Rabu apabila beliau memaklumkan, keputusan itu dibuat kerana beliau sebelum ini dilantik ke jawatan itu oleh Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Gerik, Mohamad Rizal Abd Razak.

Bagaimanapun Mohamad Rizal juga meletak jawatan pada 1 Oktober lalu.

Fathul Huzir berkata, peletakan jawatannya itu tidak berkaitan dengan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

“Saya letak jawatan setiausaha bahagian kerana ini adalah lantikan oleh pemangku ketua bahagian. Apabila beliau meletak jawatan, maka amat wajar sekiranya saya juga turut tertib dalam melakukan perkara sama sebagai tanda solidariti saya kepada pemangku ketua bahagian.

“Hal berkaitan BERSATU Gerik adalah hal parti, anggota dalam PN dan ia tidak wajar dikaitkan dengan kedudukan saya sebagai salah seorang Ahli Parlimen PN,” jelasnya.

Tambahnya, kenyataan itu dibuat berikutan timbul pelbagai spekulasi dan khabar angin tanpa asas ekoran peletakan jawatannya pada 6 Oktober lalu sebagai Setiausaha Bahagian BERSATU Gerik.

“Khidmat sebagai Ahli Parlimen bagi PN kekal dan saya tidak sesekali akan berundur daripada barisan pembangkang mahupun menyatakan sokongan kepada kerajaan hari ini. Kesetiaan saya tidak boleh dijual beli,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close