Pengunjung ke kawasan pelancongan tanah tinggi, Genting Highlands, Pahang akan dikenakan kutipan tol bagi pemandu tidak lama lagi.
Selaku syarikat yang menyelenggara jalan di kawasan tanah tinggi itu, Lingkaran Cekap Sdn Bhd, pihaknya bertanggungjawab memastikan keadaan laluan tersebut bersedia untuk digunakan.
Memetik Sin Chew Daily, jurucakap syarikat tersebut mengatakan pengguna akan dikenakan bayaran ketika ingin ke Genting Highlands sahaja.
“Bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi itu. Lingkaran Cekap bertanggungjawab terhadap jalan di Genting, termasuk cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, memotong rumput, sistem kumbahan serta lampu jalan, dan paling penting menyelenggara jalan.
“Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) menyelenggara jalan di tanah tinggi sejak membinanya pada pertengahan 1960-an,” jelasnya.
Pada masa sama, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan.
Hal ini kerana keputusan tersebut memerlukan lebih banyak perbincangan sebelum membuat pengumuman rasmi.
Malah pihaknya turut menafi dakwaan bakal berlakunya kutipan tol bermula Jun 2024 pada harga RM2.50 dan RM3.