Belanjawan 2024 menyaksikan peningkatan peruntukan bagi memastikan system Pendidikan tinggi negara berada pada tahap optimum dari RM15.3 bilion kepada RM16.3 bilion.
Ini membuktikan kerajaan memandang serius terhadap masa depan anak bangsa yang menjadi masa depan negara.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Mohd. Azhari Afirul Amiruddin berkata, pengumuman Belanjawan 2024 mengenai peruntukan untuk meningkatkan capaian Wi-Fi di universiti awam adalah satu langkah proaktif untuk menangani masalah yang seringkali dihadapi oleh mahasiswa kami.
“Masalah capaian internet yang lemah telah menjadi halangan dalam proses pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan terutamanya dalam era digital ini.
“Penambahan capaian Wi-Fi yang lebih baik akan memberi manfaat besar kepada kami, dan kami benar-benar berharap bahawa implementasinya akan dilakukan dengan kadar segera,” katanya.
Tambah Mohd. Azhari, pihaknya sangat menghargai usaha kerajaan dalam menyokong sektor pendidikan tinggi negara agar terus diperkukuh dan memberikan manfaat kerana mahasiswa.
“Mahasiswa adalah generasi muda yang penuh dengan potensi, semangat, dan idea-idea segar yang dapat membawa perubahan positif kepada negara,” ujarnya.
Dalam Belanjawan 2024, Kementerian Pendidikan Tinggi dinaikkan kepada RM16.3 billion ringgit berbanding RM15.3 billion pada tahun ini.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin berkata, kenaikan peruntukan kewangan pada Belanjawan 2024 kali ini menunjukkan kerajaan menitikberatkan mutu pendidikan tinggi sebagai aset penting negara.
Shamsul Aiman berkata, bantuan ini juga mampu menyelesaikan masalah kemudahan dan akses kepada mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Awam terutama dalam kemudahan layar web perkhidmatan universiti.
“Kerajaan perlu mengambil berat mengenai akses sistem pelajar setiap universiti, supaya peruntukan untuk membaik pulih capaian internet ini tidak hanya melepaskan ‘batuk di tangga’,” terangnya.
Beliau menjelaskan, pengumuman itu memperlihatkan kesungguhan Perdana Menteri yang amat memahami denyut nadi mahasiswa yang banyak melontarkan idea dan aduan ketika program Temu Anwar selama ini.
Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan menerusi Belanjawan 2024 juga menyediakan RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam termasuk RM5 juta untuk melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.